PELUANG pelaburan dalam unit amanah Islam timbul bukan semata-mata untuk mewujudkan pilihan kepada unit amanah konvensional, tetapi ia sememangnya diperlukan bagi memenuhi kepentingan pelabur-pelabur Islam. Pengenalannya turut menarik minat sebahagian besar pelabur bukan Islam kerana pulangan yang dihasilkan adalah sebanding dan kadang-kala lebih dari unit-unit konvensional.

Prosidur dan cara operasi dana-dana amanah Islam adalah lebih-kurang sama dengan cara konvensional. Yang membezakannya ialah kewujudan panel syariah bagi memantau dan memastikan unit amanah Islam yang ditawarkan adalah diurus dan ditadbir berlandaskan hukum syariah. Individu berkelayakan yang terpilih menduduki panel Syariah dalam setiap syarikat pengurus akan bekerjasama dengan Majlis Penasihat Syariah (SAC) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam mempastikan dana-dana Islam mempraktikkan keperluan syariah dalam setiap sudut operasi dan pelaburan yang dijalankan. Dana-dana Islam ini hanya akan melabur dalam portfolio ‘halal’ dan sekuriti-sekuriti yang diterbitkan berlandas prinsip Islam.

Dana Islam yang melabur dalam portfolio saham halal contohnya, tidak akan melabur dalam kaunter-kaunter saham di mana syarikat tersebut terlibat dengan aktiviti, produk atau perkhidmatan seperti perbankan, insurans dan perkhidmatan kewangan konvensional, perjudian, memproses/memasarkan minuman keras dan makanan-makanan yang tidak halal (seperti yang mengandungi daging babi).

Khidmat panel syariah penting dalam industri untuk menjaga kepentingan pelabur. Secara ringkasnya, panel syariah adalah bertanggungjawab dan berkewajipan ke atas perkara-perkara seperti berikut:-

* Bertanggungjawab memberi nasihat kepada para pengurus berkenaan urusan pentadbiran dana Islam, perihal struktur dan operasi, serta dalam proses pelaburan yang dijalankan.

* Memastikan perjalanan dana-dana Islam mematuhi segala ketetapan dan peraturan yang diputuskan oleh SC berkenaan hal-hal unit amanah dan syariah.

* Merujuk kepada SC, yang kemudiannya merujuk kepada Majlis Penasihat Syariah, untuk mendapatkan khidmat nasihat sekiranya terdapat ketidakpastian dalam aspek khas urusan unit amanah Islam.

* Meneliti laporan pematuhan (compliance report) yang disediakan oleh pejabat pengurus, laporan transaksi selepas atau sebelum disahkan oleh pemegang amanah dan lain-lain laporan yang berkaitan, dengan tujuan setiap prinsip syariah telah dipatuhi.

* Menyediakan satu laporan pengesahan sama ada satu-satu dana itu telah diurus mengikut syariah, untuk disertakan sebagai satu laporan interim atau tahunan.

* Menyemak dan memberi nasihat terhadap bahan-bahan yang akan digunakan dalam mempromosikan dana syariah.

* Menghadirkan diri dalam mesyuarat-mesyuarat yang diadakan dari masa ke semasa oleh SC atau mana-mana pihak berkuasa, berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dana amanah dan syariah.

* Menjawab keraguan pelabur berkenaan hal-hal syariah, yang bersangkutan dengan unit amanah yang ditawarkan.

Kewujudan panel syariah mempastikan dana-dana Islam yang dilancarkan bukan terbit atas nama sahaja. Peranan dimainkan meningkatkan keyakinan pelabur bahawa operasi dan cara pelaburan dana amanah Islam yang ditawarkan tidak akan menyimpang hukum syariah Islam.